Sunday, June 15, 2008

Luruhkan daun mu..


Luruhkan daun mu..



Daun-daun kekuningan mula berguguran. Merah, jingga, kuning, dengan akur semuanya gugur. Masa untuk perubahan telah tiba.

Nun sedikit jauh dari pohon-pohon lain, ada pohon yang masih berkeras ingin menahan dedaunannya. Walau kuat angin bertiup, masih lagi pohon ini berhati batu dan tidak mahu mengikut pepohon lain. Dia memandang dengan jelik pada perubahan yang dibuat oleh pokok-pokok lain.

Terdetik dalam hatinya, ”Kamu ni ekstrim. Adakah patut untuk menaburkan begitu sahaja dedaun yang telah lama kita semai dan bajakan. Takkan nak dibiar begitu sahaja. Arghh! Aku tidak mahu terlibat dengan kerja gila kamu semua.”

Pepohon lain memandang pohon muda ini dengan wajah kasihan. Pohon-pohon yang di sekitarnya, sudah berusaha untuk menyedarkan natijah kedegilannya. Sedih, pohon ini masih keras kepala.

Mula-mula dengan wajah malu-malu dan cuba bermuka manis, ditolak dengan baik oleh pohon jiwa muda ini. Katanya, ”Alaa.. Hidup ini kan sekejap je. Kena enjoy hidup ni. Takpe, nanti tiba masanya akan berubah jua.” Hanya senyuman nipis ibarat cemikan dilemparkan.

Pepohon tua, yang sarat dengan pengalaman terus mengajak. Mereka sedar, tidak mungkin mereka biarkan saudara, sahabat malah yang mereka anggap sebagai yang sehati dengan mereka dihanyutkan oleh nafsu yang membara. Maklumlah, hidup di dunia ini yang penuh dengan kembara-kembara yang indah dan menawan. Tiada yang mengaburi mata melainkan yang manis sahaja. Yang pahit dibuang jauh-jauh..

Makin persistent dan makin hebat usaha yang dicuba, pohon muda mula rimas. Mula sifat marahnya meluap-luap. Rasa benci pada hatinya melihat pepohon tua yang pada mata kaca dan benak fikirnya sudah gila, sudah majnun, penyair-penyair yang mengalun madah-madah yang gila ”Ya.. lisya’irimm majnun.. penyair yang gila. Itulah layaknya gelaran buat mereka,” desis hatinya

Butiran demi butiran nasihat terus dicurahkan. ”Kamu kena berubah wahai pohon muda. Hidup ini perlu berkembang. Tinggalkanlah segala kefasadan jahiliyah itu. Luruhkan dedaunan itu. Tidak lama lagi kita akan mengalami musim sejuk. Di situ, kita akan berada dalam lembayung tarbiyah. Masa dorman untuk kita gamit buat bekalan masa hadapan.”

”Tarbiyah musim sejuk ini akan banyak mengajar kita. Mungkin secara zahir, nampak seolah kita hanya membuang. Meluruhkan dedaunan. Namun itu hanya ibarat gerhana, bukan seperti terbenamnya matahari. Sabarlah mengharunginya.”

”Benih-benih akan disemai. Semasa dalam kedinginan tarbiyah, kita mengekang sikap terburu-buru dan semangat membara baru yang masih belum stabil. Tidak guna hanya dengan semangat baru, seorang yang mampu menjadi faqihu wa’amaliyun, jika semangat yang membakar dalam diri tidak dijurus dengan betul, lama-lama hanya akan tinggal bibit aktivis. Aktivis yang kurang faham, alpa, akhirnya kecundang di medan.”

”Sayonara pada maksiat dan jahiliyah. Masa inilah kita luruhkan segala dedaunan lama. Dengan benih baru yang disemai, dengan baja tarbiyah dan juga bi’ah dingin musim sejuk, maka insya Allah, akan tumbuh bukan sahaja ruh baru yang mantap, malah jasad baru yang lebih utuh dan kuat.”

Dengan derus angin yang makin kuat, si pohon muda makin bergetar hatinya. Terasa indah dunia yang telah dialaminya. Rasa ragu-ragu pada dirinya akan perubahan yang terpaksa dialami memang telah lama menapak. Namun dia memang akur, apa yang dikatakan oleh pepohonan tua betul. Cuma, masih ada khilaf terasa, dan mungkin juga?

Ya mungkin juga?

Nafsu dan anasir-anasir jahat sekali lagi menyirami pohon muda dengan kelekaan dunia. Pepohon tua itu memang esktrim desisnya lagi.

Sambaran angin yang makin ribut lajunya dan makin mencucuk sampai ke akar umbi sejuknya menyedarkannya dari lena alpa angan-angan yang menerawang di mindanya. Desis hatinya, ”Aku perlu berubah! Ya, berubah ke arah yang lebih baik.”