Monday, February 25, 2008

Imbauan titisan hujan



Imbauan titisan air yang menyayat dan menggunturkan ego hati. Kini aku sedari, bahkan kini aku lebih kenali erti hakiki titisan yang mengairi bumi sejati. Sumber yang dahulunya aku tidak endah, aku sekarang begitu hargai. Terasa begitu kontang diri, tandus dengan kealpaan duniawi yang begitu mengasyikkan. Kini ku harap hujan. Curahan air yang begitu nyaman. Kuingin agar hati ini disirami, biar kuyup, biar lencun, malah ku sebenarnya begitu mengharapkan agar ia diserapi tidak hanya megalir sedu berpegian tanpa ada tampak kesannya pada tanah bumi yang dilaluinya.

Hujan. Dambaan yang terasa sangat rindu akan bentur-bentur titisan. Walau hanya secebis gerimis sangat ku rintihkan padaMu. Tidak rela hati ini, tidak sanggup jiwa ini terasa begitu pedih tanpa adanya air yang akan sentiasa memberikan nyawa. Tanpa untaian-untaian air, maka akan mati hati, tiada erti diri walau harta dan kemewahan yang dikejari penuh disisi.

Hujan. Singkapan igauan ku pada hari-hari yang pernah ku lalui. Ku redah hari-hari yang penuh rintangan, dengan basahan hujan. Tiada pula hujan menjadi penghalang untuk ku pacu maju, malah hujan menjadi jana yang membekali hati dengan isi yang begitu utuh. Tidak lagi hati menjadi layu dan lemah, malah hati menjadi kuat tegar, namun masih dinamika dan masih lagi mampu untuk bentur berupa bentuk yang selayaknya.

Hari-hariku selepas disinggapi titisan yang pertama penuh berbeza. Hari-hariku terasa begitu bermakna. Hujan yang dahulunya ku jauhi, kini mula ku ternanti-nanti. Syukurku padaMu, tanpa nikmat hujan, tidak mungkin aku masih lagi berada tsabat di jalan ini. Terima kasih ku ucapkan, jazakAllah khukhairan kasira pada jiwa-jiwa yang memanduku ke arah jalan ini dan membiarkan ku kehujanan. Moga tsabat kami semua dan tidak jemu kami kehujanan, sama ada sentiasa mencari titisan murni untuk curahan hati jua untuk sama-sama berkongsi mencurahkan air-air hujan pada yang sebenarnya menunggu kekontangan mereka dibasahi.

Firman Allah:

(Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu). dan (ingatlah ketika) ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan).

(Surah Al Anfal, ayat 11)

Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmatNya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya).

(Surah Al A’raf, ayat 57)

Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan; kemudian Allah menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendakiNya, dan menjadikannya berkelompok-kelompok; lalu engkau melihat hujan keluar dari celah-celahnya. maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya, mereka serta merta bergembira;

(Surah Rum, ayat 48)

Dan sesungguhnya Kami telah mempergilirkan hujan itu diantara manusia supaya mereka mengambil pelajaran (dari padanya); maka kebanyakan manusia itu tidak mau kecuali mengingkari (nikmat).

(Surah Furqan, ayat 50)

Dan Allah menurunkan dari langit air (hujan) dan dengan air itu dihidupkan-Nya bumi sesudah matinya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang mendengarkan (pelajaran).

(Surah An Nahl, ayat 65)

Juga dari Abu Musa R.A, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya perumpamaan apa yang dengannya aku diutus oleh Allah iaitu daripada hidayah dan ilmu adalah bagaikan hujan yang lebat yang mengenai bumi. Maka sebahagiannya adalah kelompok tanah yang subur, menerima kehadiran air dan menumbuhkan ladang gembala serta rumput yang banyak, sebahagian lagi adalah tanah ajadib; iaitu tanah yang boleh menahan air sehingga dengannya Allah memberi manfaat kepada manusia mereka boleh minum daripadanya, menyiram air dan bercucuk tanam. Dan hujan tadi juga mengenai jenis tanah yang lain iaitu qi’an; tidak boleh menahan air dan tidak boleh menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Begitulah perumpamaan orang yang mengerti agama Allah dan mengambil manfaat dari apa yang Allah mengutusku dengannya. Sehingga dia mengerti dan mengajarkannya. Juga perumpamaan orang yang sama sekali tidak peduli dengan (agama) itu dan tidak mahu menerima petunjuk Allah yang aku diutus kerananya.”

(Riwayat Bukhari wa Muslim; Muttfaqun ’alaih)

Hujan oh hujan. Begitu berbahagia insan-insan yang ingin mengambil iktibar. Kasih kepada junjungan tidak mungkin bersemi jika tidak kita teliti dengan sempurna sabda baginda ini. Hatta tidak mungkin berputik rasa kasih pada utusan terakhir. Analogi baginda sebagai hujan yang memberi rahmat pada seluruh alam.

Firman Allah:

”Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah Al Anbiya’, ayat 107)

Begitu agung risalah baginda. Begitu berat amanah yang terletak di pundak. Tiada yang mampu menanggungnya. Bagindalah yang satu-satunya, makhkuk yang terpilih, habibullah, kekasih Allah.

Hujan yang simbah membasahi bumi, ibarat hidayah dan ilmu yang tidak kunjung jemu mewarnai dan memberi haruman pada jiwa-jiwa insan. Risalah baginda membawa peringatan kepada jiwa-jiwa jahiliyah yang sudah sangat berkarat dan sangat kelam dengan dosa noda yang hitam pekat. Hidayah dan ilmu menggilap bersih hati-hati yang sudah ternoda. Dengan segera, hati-hati yang dulunya tiada harapan untuk bersinar, kini mula ceria dengan cicipan petunjuk Ilahi.

Tanah-tanah ibarat hati-hati manusia yang bervariasi. Ada jenis tanah yang subur. Dengan berbekalkan air, mampu untuk menyuburkan tanaman. Bukan sahaja pokok-pokok yang tumbuh, malah haiwan dan manusia turut mendapat imbuhan. Dengan tanah yang subur itu, makhluk-makhluk dikurnia rezeki yang melimpah ruah. Tanah-tanah ini begitu bermanfaat pada seluruh alam, kerana dengan asbabnya, alam subur dan makhluk-makhluk Allah mampu untuk tersebar ke seluruh pelusuk bumi untuk mencari rezeki dan memakmurkan alam menurut fitrah sunnatullah. Insan-insan yang mempunyai hati sebegini sememangnya kelompok manusia yang dipilih oleh Rabbul ’Izzati. Gologan ini yang sememangnya berusaha menghayati dan beramal dengan tugas khalifah yang tertera dalam kalam agung. Mereka adalah jiwa-jiwa yang kental menerima hujan dan sentiasa menempiaskan hujan-hujan pada insan-insan di sekitar. Mereka adalah golongan yang tidak pernah kecewa, siap siaga untuk mengislahkan orang-orang yang masih lagi hanyut dengan arus yang begitu kuat. Mereka tidak gusar untuk menentang gelora arus. Malah mereka berikrar untuk membawa perubahan. Unjuran mereka hanya satu. Moga alam ini dan seluruh isi ini mengesakan Rabbul ’Alamin dengan haq yang sebenarnya. Tiada kompromi yang akan mereka terima. Namun hikmah sentiasa mereka siapkan di sisi. Mereka sedar bahawa tindakan yang terburu-buru bukanlah wadah yang berfaedah. Inilah golongan yang beruntung:

Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"

Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumNya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, Dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.

(Surah Fussilat, ayat 33-34)

Nun jauh sedikit di belakang barisan golongan yang beruntung ini, berdiri pula golongan yang menjadi penyokong dan sedikit sebanyak menampung kekurangan golongan yang pertama. Tanah ajadib, walau tidak mampu untuk menyerap hujan sebaik tanah yang subur, namun tanah ini menampung menakung air. Tanah ini mampu memberi minuman pada binatang ternakan dan menjadi sumber manusia minum darinya. Inilah golongan manusia yang mereka tidak sehebat golongan pertama namun mereka tidak menolak dan tidak pernah jemu juga berusaha meraih hidayah dan ilmu dari Allah. Namun kerana sedikit kekurangan, mereka tidak mampu untuk menyuburkan manusia sebaiknya dan tidak mampu untuk membasahi hati-hati manusia sepetimana golongan yang sebelumnya. Namun mereka masih lagi berangkat dalam kafilah yang sama. Masih juga mereka saling berganding bahu bersama dengan yang lain. Mereka juga mampu untuk menarik manusia ke arah jalan yang haq menuju desitinasi yang dimpi, cuma mungkin kerana mereka tidak begitu berhati-hati, mungkin juga kerana kelalaian mereka yang sedikit menyebabkan mereka tidak setaraf dengan gerabak kafilah yang berada di depan mereka.

Tanah yang terakhir yang menjadi kegundahan ramai. Tanah qi’an ini tiada gunanya pada makhluk-makhluk Allah. Tanah qi’an terbentur keras dan tidak mampu untuk menyerap air. Tidak cukup dengan itu, tanah ini tidak juga mahu menakung air, malah apabila air mengalir, tanah ini hanya membiarkan sahaja aliran itu seolah-olah air itu hanyalah sekadar laluan yang tidak penting. Inilah kelompok manusia yang sangat rugi. Mereka tidak mahu berusaha mencari hidayah dan ilmu, malah jika diberi peringatan, mereka merasakan peringatan itu tidak penting. Mungkin ada yang hingga merasa sudah lali dan terasa sangat picisan nasihat-nasihat yang dicurahkan. Malah ada yang merasa sangat benci pada golongan yang tidak pernah henti untuk mengajak mereka ke jalan yang lurus dan benar.

Terasa pedih hati ini, melihat jiwa-jiwa yang masih membenci hujan. Redupan mendung awan yang mendatang diterima dengan hati yang berat oleh golongan yang leka ini. Aduh, kasihan mereka. Hujan yang menyusul pula disambut dengan rungutan dan juga dengan ejekan atau fiil yang menjengkelkan. Hanya usaha yang tidak pernah ada noktah, juga iringan doa yang sentiasa ku hadapkan pada yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Tidak kurang juga muhasabah yang menjadi ritual rutin sebelum dan sejurus setiap aksi untuk menyedarkan mereka akan nikmatnya hujan.

Ku sedikit keliru, adakah mereka tidak tahu akan nikmat hujan. Adakah mereka rasa nikmat hujan yang dikecapi hanya satu utopia atau mimpi indah golongan yang berusaha mendekati diri mereka. Memang tidak murah harga setitis air yang reperkusinya mampu untuk membentur tanah yang sangat keras. Namun, titisan demi titisan yang tercurah perlu dipastikan cukup untuk membasahi dengan baik tanah. Mungkinkah mereka terpengaruh dengan anasir-anasir yang memburuk-burukkan atau merendahkan hujan? Mereka takut pada hujan acid? Adakah mereka merasakan adanya komposis lain selain air-air berbaur kristal hujan? Atau adakah mereka ini terlalu leka dan merasakan nikmat yang sedang mereka kecapi lebih besar nikmatnya dari nikmat hujan? Jika kedua-dua khilaf ini yang terpusat pada hati, maka menjadi tanggungjawab golongan yang kedua-dua jenis tanah untuk membuktikan betapa nikmatnya hujan. Tidak terungkap dengan ungkapan perbuatan apatah lagi dengan untaian kata-kata yang manis.

Kenapa hujan harus dijauhi? Kenapa dipayungi diri dari hujan? Padahkah diri jika terkena hujan?

Thursday, February 14, 2008

Ratu hati... Bidadari hati...



Ratu hati... Bidadari hati...

An Nisa’. Susunan abjad yang menyusun kata yang mampu menggetarkan hidup dan hati insan bernama lelaki. Dunia semuanya mengakui betapa besarnya pengaruh wanita dalam kehidupan. Sedih sekali dunia sekarang menganggap wanita adalah duri di sebalik bunga. Tidak kurang juga yang menjadi hamba kepada perempuan. Lebih sedih lagi, wanita sendiri menjadi hamba kepada hedonis yang tidak pernah hilang hausnya. Dunia hiburan membuktikan bahawa pelipur lara tidak jemu-jemu memperguna golongan insan yang secara fitrahnya suci ini untuk memuaskan nafsu yang hanyalah sementara dan sebenarnya tidak akan puas.

Islam mengangkat martabat wanita ke tempat yang sebenarnya. Tidak terlalu diagung-agungkan malah tidak juga diperhina seperti dalam singkapan sejarah tamadun manusia. Insan yang tidak memahami islam akan selalu merasakan bahawa diri wanita tidak diperlaku dengan adil. Dunia sekarang yang tidak menjalankan sistem islam yang syumul akan berusaha sedaya upaya mereka untuk memperjuang hak-hak wanita. Istilah-istilah yang tidak asing dari lingkup hidup kita; feminisme, gender equality dan banyak lagi nama-nama yang berusaha untuk meletakkan wanita sebaris dengan kaum lelaki. Mengharukan ada golongan dari pihak islam sediri yang kurang memahami konsep islam sama-sama berjuang dengan kelompok-kelompok ini.

Perbandingan islam dengan agama-agama lain, wanita dalam agama lain sebenarnya dipandang lebih rendah dan menjadi satu simbol yang merosakkan. Dalam kristian, istilah original sin meletakkan sepenuhnya salah silap kepada pundak wanita. Hawa atau Eve dituduh sebagai penggoda yang menyebabkan Adam mengambil buah larangan. Dengan pujuk rayu Hawa, Adam tidak mampu bertahan dan akhirnya memetik buah yang dilarang untuk didekati. Kerana kesalahan besar inilah, maka manusia dikeluarkan dari syurga. Wanita dipandang sebagai punca kepada segala masalah.

Petikan dari kitab kejadian (Genesis 3:6)) (Kejadian 3:6), ”Maka dilihat oleh perempuan itu bahawa buah pohon itu baik akan dimakan dan sedap kepada pemandangan mata, iaitu sebatang pokok asyik akan mendatangkan budi, maka diambilnya buah, lalu dimakannya, serta diberikannya pula pada lakinya, maka ia pun makanlah.”

Pabila ditanya oleh Tuhan, maka jawab Adam menurut Kejadian 3:12 (Genesis 3:12), ”Adapun perempuan yang telah Tuhan kurniakan kepadaku itu, ia memberikan daku buah itu, lalu kumakan.”

Nah, bukankah jelas segala lontaran kesilapan manusia diletak di pundak golongan insan yang tidak berdosa ini. Kerana doktrin sebegini, kefahaman yang tidak sahih ini sendiri yang menyumbang ke arah ketidakadilan dalam masyarakat barat. Mereka sendiri alpa dan tidak sedar bahawa dasar kepercayaan mereka sendiri sebenarnya yang telah menanam dengan tunjang utuhnya bahawa perempuan perlu disalahkan. Perempuan perlu dilihat dengan renungan yang berkacakan perasaan jijik dan hina, menurut mereka.

Tidak kurang juga dalam kitab Perjanjian Baru (New Testament). Mungkin tidak terlalu direct, tetapi masih agak jelas di mana perempuan masih dipersalah kerana perempuanlah yang pertama layu dan akur dengan bujukan syaitan yang dihiasi dengan penuh indah.

Jika kita dalami dengan penuh teliti, fahaman Kristian ini secara langsung mempamer kelemahan lelaki yang mudah untuk termakan pujuk rayu perempuan. Juga dalam dasar yang dipercayai oleh Kristian ini, Adam menjadi simbolik seorang yang dengan pantas menepis kesalahannya terus kepada perempuan. Pabila ditanya oleh Tuhan, lantas dituding kesalahannya pada si wanita. Wajarkah seorang yang mulia bertaraf nabi bersifat demikian? Sememangnya agak kurang logika dan tidak mungkin.

Golongan rahib kristian kemudiannya menggunakan simbol Isa atau jesus disalib sebagai satu cara untuk menghapuskan dosa. Maka mereka mempermudah cara untuk menghapus dosa hanya dengan mempercayai doktrin ini. Cukup sekadar menggunakan salib sebagai satu metode untuk beribadah.

Sementara itu, Islam pula memandang sebenarnya, kejadian Adam dan Hawa diturunkan dari syurga bukanlah kerana salah wanita. Sebenarnya manusia sendiri semuanya tidak mampu untuk menahan nafsu. Kedua-duanya telah diperdaya oleh syaitan. Firman Allah:

Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: "Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga)". (Surah Al A’raf, ayat 20) (7:20)

Seterusnya, waima kedua-duanya menangggung beban dosa yang sama, punca kedua-duanya digelincirkan adalah kerana tindakan Adam,

”Dan Demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi ia lupa; dan Kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.”

(Surah Thaha, ayat 115) (20:115)

Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya).

(Surah Thaha, ayat 121) (20:121)

Dalam ayat-ayat ini sangat bertentangan ciri-ciri insan yang diungkap berbanding perumpamaan manusia oleh kitab-kitab Kristian. Peribadi Adam dalam kitab Kristian menggambarnya sebagai seorang yang lemah selain mudah untuk meletakkan kesalahan pada orang lain itu sangat berbeza dengan karakteristik Adam dalam Quran. Adam tidaklah dipandang sebagai seorang yang lemah. Adam telah diambil janjinya atau telah berjanji dengan Allah untuk tidak menghampiri pohon larangan tapi kerana hasutan syaitan durjana, maka dia alpa hingga terlupa janjinya pada Maha Esa. Dambaan nafsu dan cucukan syaitan akhirnya menenggelamkan manusia dan meletakkan manusia di darjat yang terhina malah lebih hina dari binatang ternakan, malah lebih hina dari segala-galanya yang dicipta Allah ta’ala.

Dan Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Surah Al A’raf, ayat 179) (7:179)

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah. (Surah Tin, ayat 4-5) (95:4-5)

Berdasarkan dalil-dalil, ternyata sebenarnya, iblislah yang merupakan musuh yang utama. Ternyata, Adam diperdaya secara langsung dari Iblis dan bukannya kerana Hawa. Kerana tipu muslihat iblis yang sibuk menggoda manusia, maka Adam akhrnya terpedaya dan termakan pujukan iblis itu. Sebenarnya, Adamlah yang mula mendekati pohon yang dilarang dan inilah yang menyebabkan kemurkaan Allah. Bukanlah wanita yang sepatutnya dipersalah kerana Adamlah yang sebenarnya melakukan tindakan itu.

Taraf wanita di kaca mata muslim bukan sahaja sama dan selari barisan dengan kaum lelaki malah Allah turut berfirman dalam Surah At Taubah, ayat 71 di mana dinyatakan bahawa bukan sahaja lelaki memimpin wanita, malah ada wanita yang memimpin kaum lelaki.

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi pemimpin bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah At Taubah, ayat 71)

Para ulama’ sepakat menafsir ayat ini bahawa pihak wanita tidak terhad untuk hanya memimpin dari golongan mereka sahaja, malah mereka turut berhak untuk memimpin kaum lelaki jika layak. Dari contoh yang kecil di mana ibu-ibu memimpin anak-anaknya hinggalah kepada institusi yang lebih besar, Islam tidak pernah menyempit apatah lagi menindas hak-hak wanita seperti yang diwar-war dan ditohmah tanpa bukti yang ilmiah oleh pihak musuh islam serta pihak-pihak yang keliru dan menjadi mangsa keadaan. Jilbab atau tudung dituduh menjadi bahan yang diguna pakai untuk memeras kaum muslimat. Muslimat dipandang kononnya ”kasihan” oleh golongan-golongan sebegini. Kain yang menutup darjat maruah yang mulia dianggap sebagai penyekat kepada kebebasan dan penghalang kepada wanita muslimat untuk ekspresi diri. Ini, menurut mereka adalah gara-gara fahaman islam sendiri yang terlalu ekstrim dan golongan ini adalah golongan yang fanatik atau fundamentalis.

Dalam islam, ratu hidup dan bidadari hidup seorang lelaki adalah dua insan istimewa yang akan sentiasa memberi pengaruh besar di sisi hidupnya. Sama ada asuhan dan didikan yang tiada tolok bandingannya hinggalah kepada galakan dalam mengharungi detik-detik mencabar, tidak dapat dinafikan segala rinci ruang kehidupan akan dijana oleh dua insan istimewa ini. Ibu dan isteri adalah daya penolak yang besar kepada seorang lelaki.

Ibu. Dikaulah insan pertama yang ku kenal. Kaulah insan terpaut di hatiku. Bagi ana sendiri, memang ibu insan yang paling istimewa. Teringat kembali ceritera yang pernah diluahkan ibu ketika ana masih kecil. Ibu dulu didiagnos dengan ectopic pregnancy ataupun mengandung di luar rahim. Ketika itu dengan kelengkapan peralatan medikal yang agak terhad di banding dengan sekarang, doktor akhirnya menasihati ummi dan abi supaya menggugurkan sahaja kandungan yang dikendong ketika itu. Hancur luluh hati kedua-dua sang ibu dan ayah. Namun naluri sang ibu yang membibit dengan rasa kasih kepada si anak tidak sanggup untuk menuruti cadangan si doktor. Akhirnya, mereka bertawakkal kepada Allah dan meneruskan kandungan. Hasilnya, lahirlah ana ke dunia ini. Tanpa pengorbanan besar yang pertama ini, pasti ana hanyalah kerdipan di celah mata ummi dan abi. Memang sudah menjadi qadar Allah, namun pengorbanan ibu adalah asbab untuk ana untuk terus mencurahkan bakti.

Ibu betapa mulianya jasa yang engkau curahkan. Mulianya sang ibu, menjadi noktah besar dalam islam hingga menjadi kewajipan untuk berbakti sepenuhnya kepada ibu selagi mana tidak melanggar nas-nas dan syarak batasan yang ditetapkan.

Antara hadith Rasulullah yang masyhur, ada orang yang bertanya kepada Rasulullah, kepada siapa aku mesti memberikan pembaktian. Rasulullah menjawab, ”Ibumu.” Ditanya lagi, masih dijawab ”Ibumu.” Pertanyaan kali keempat barulah dijawab ”Ayahmu’”

Hadith Rasulullah mengenai kisah Juraij cukup untuk memberi guturan keras pada jiwa kita. Walau Juraij yang sangat rajin dalam ibadahnya, angkara tidak menjawab panggilan ibunya walau ketika masih dalam ibadah. Natiijahnya, si ibu yang terguris lalu menyumpah Juraij supaya melewati perempuan lacur. Akhirnya, Juraij difitnah dan dibelasah oleh penduduk kampung. Maha Suci Allah yang ingin memberi pengajaran kepada hamba-Nya supaya menghormati ibu, akhirnya kerana maghfrah dan rahmatnya, Juraij dibersih dari tuduhan fitnah apabila anak pelacur yang masih bayi bersuara memberitahu penduduk kampung si ayah yang sebenar. Walau selamat dari tuduhan akhirnya, namun ujian dari Allah sudah dikecapi. Parah sudah tubuh dibelasah oleh penduduk kampungl, Begitu besar doa ibu hingga si alim tidak terurai dari rantaian pembalasan oleh Allah.

Hujung telapak kaki ibu adalah pintu syurga terpateri dalam hadis Rasulullah mengenai seorang sahabat yang telah betul nazak tetapi tidak mampu untuk menutur kalimah syahadah. Setelah diselidiki, rupa-rupanya pemuda itu derhaka kepada ibunya. Si ibu dipanggil dan diminta untuk memaafkan anaknya. Si ibu pada mulanya masih hiba dan enggan, namun apabila Rasulullah akhirnya menyuruh sahabat-sahabat lain untuk membakar sahaja hidup-hidup pemuda itu, si ibu akhirnya terkilan dan akhirnya memaafkan si anak. Akhirnya si anak dapat mengucap dan putuslah nyawanya sejenak itu.

Bidadari hidup umpama pelengkap hidup seorang lelaki. Bak fizikal mahupun rohani, emosi dan segala ciri, seorang isteri adalah komplementariti seorang suami. Tiada penafian bahawa seorang isteri bukan setakat penyeri di rumah tetapi seorang isteri turut sama-sama berjuang di medan, sama terjun dalam kancah arena seiring dengan si suami dalam usaha menegakkan islam yang tercinta. Malah si isteri adalah penyumbang besar dalam membekali si suami tidak terbatas dengan semangat dan ketenangan dalam menyumbang ke arah menegakkan islam, segala yang boleh dikorbankan bersama akan dicurahkan sepenuhnya, harta mahupun jiwa raga.

Model Khadijah adalah model isteri solehah yang ideal dan menjadi kejaran muslimat untuk berusaha mencontohinya. Khadijah idola isteri-isteri pejuang islam yang tidak kenal erti penat lelah, tidak secebis rasa syak mahupun gusar dengan amanat risalah yang dijuang suami tercinta, Rasulullah S.A.W. tiada kalimah mudah yang mampu mencirikan fi’il yang indah dimiliki Khadijah. Dialah yang pertama membenarkan. Walau Rasulullah sendiri dengan rasa yang amat takut setelah pertemuan julung kali dengan ruhul kudus, namun, Khadijah mampu menenangkan Rasulullah, malah memberi idea ang bernas dengan membawa Rasulullah berjumpa Waraqah Bin Naufal untuk memberi keyakinan dan ketenangan akan risalah yang dijunjung. Dari awal hinggalah hujung hayatnya, begitu banyak curahan jasa demi deenul haq, membantu Rasulullah dalam apa jua.

Ummu Salamah. Walau usianya sudah menggapai sangat lanjut ketika berkahwin dengan Rasulullah, namun jasanya tidak terkira. Malah sejak sebelum menjadi Ummu Mu’minin, kisah kisah Hijrah Ummu Salamah dan Abu Salamah (Abdullah Ibnu Abdul Asad) ke Madinah merupakan kisah yang mengharukan. Ketika mereka ingin meninggalkan Mekah, mereka dihalang oleh kaum Makhzum dari pihak Ummu Salamah. Mereka lalu merampas Ummu Salamah dan anaknya dari Abu Salamah. Kaum Abdul Asad dari Abu Salamah marah lalu merampas anak mereka. Tinggallah Ummu Salamah terkapai-kapai keseorangan. Suaminya telah hijrah ke Madinah. Anaknya dirampas oleh Bani Abdul Asad sedangkan dirinya terpenjara oleh kaumnya sendiri. Sejak hari perpisahan itu, tidak kujung lepas, setiap hari Ummu Salamah akan pergi ke tempat berlakunya tragedi itu dan menangis hingga malam tiba. Genap setahun barulah Ummu Salamah akhirnya berjaya berhijrah ke Madinah dan disatukan kembali dengan keluarganya. Nah, bukankah satu cerita yang romantis. Zaman sekarang, walau kematian suami, paling lama hanya seminggu mungkin selebihnya sebulan dan perasaan itu makin pudar. Malah selepas Abu Salamah meninggal, Ummu Salamah berikrar tidak akan berkahwin lagi kerana dirasakan tiada lagi orang yang dapat menyerupai Abu Salamah. Akhirnya, dia dilamar sebagai Ummu Mu’minin.

Teringat ana ketika ayah berada di pembaringan di hospital. Ketika berada dalam keadaan komatos, pelbagai mimpi yang menjelma. Ada yang memang hanya buaian tidur, tidak kurang juga mainan syaitan. Alhamdulillah, pabila ayah sudah mula sihat, diceritakan kembali akan mimpi-mimpi yang dilalui.

”Nak, ayah mimpi kau kahwin.”

”Ish! Betul ke abah ni.” Aku hanya tersenyum.

”Betul. Abah siap mimpi nama lagi.”

”Wah, siapa namanya?” Aku mula curious.

“Namanya Ummu Salamah.”

Dalam hatiku, aku hanya berdoa. Moga mimpi ayah menjadi kenyataan. Dalam satu lagi detik, ketika ziarah untuk khitbah, ana ceritakan pada ikhwah yang menemani.

”Tapi, nama dia tak sama pun.”

”Erm. Insya Allah perilakunya bak Ummu Salamah. Mungkin inilah perancangan Allah.”

Amin ya rabbul ’alamin.


al asad

Wednesday, February 6, 2008

Titik-Titik Tengah



Satu persoalan yang mungkin tidak pernah langsung terlintas di benak minda seorang muslim. Mungkin juga ia pernah bermain-main di ruang legar minda mahupun perasaan, namun yang pasti, tidak semua yang pernah terfikir akan perasaan ini. Persoalan yang mungkin tampak mudah. Seolah-olah satu lontaran liar yang mungkin sesetengahnya merasakan bahawa ia bukan satu isu akademik yang patut dibicarakan. Namun, sebagai seorang insan, anugerah akal tidak menyempitkan kita hanya pada perkara-perkara utama. Apatah lagi, tidak jua menjurus kepada perkara-perkara yang simplistik. Waima begitu, persoalan-persoalan yang ada, kita jadikan ia sebagai satu pengajaran dalam apa jua aspek yang boleh dipraktikkan, wahana untuk kita mantapkan lagi usaha tarbiyah dan dalam usaha kita untuk menggapai redha Allah.Seorang akh mengaju satu persoalan yang bunyinya seolah teka teki. ”Apakah perkara di mana manusia kurang sedar akan titik pertengahannya?” Nah, bukankan soalannya nampak mudah? Jika dijadikan satu bahan kajian thesis, pasti banyak jawapannya. Ana sendiri tercengang akan persoalan yang diajukan. Tidak pernah ana dengar akan persoalan ini. Yang lumrah ialah kita bisa mendengar akan persoalan ”Apakah perkara di mana manusia kurang sedar akan titik permulaannya, atau kurang sedar akan titik pengakhirannya?” Soalan yang kemudian ini, lebih mudah untuk dijelaskan, dan mungkin lebih banyak jawapan yang boleh diutarakan.Ligat berputar benak fikiran memikirkan jawapan. Dari hati, teringin untuk mengutarakan isu-isu yang dirasakan dapat memenuhi kehendak jawapan. Namun terasa berat untuk mulut melafazkan rasa hati.

Setelah diam sekian lama, kerutan dahi tanda sudah banyak jawapan yang difikirkan. Sekian sunyi tanpa jawapan, akh tadi terus melontarkan satu isu.

”Mudah sahaja, contohnya dari aspek sains, seorang manusia itu pasti tidak dapat nak tentukan waktu antara mengantuk dan tidur. Seseorang yang sudah letih fizikalnya, mental dan akalnya pasti jua sudah letih. Bukan mudah untuk kita dapat berfikir dengan rasional pada ketika itu.Maka, memang lumrah untuk seseorang itu tidak dapat nak pastikan bilakah dan apakah yang berlaku antara waktu mengantuk dan waktu tidur. Walau sekiranya sedar, seseorang itu selalunya tidak mampu untuk mengingat segala hal yang terjadi antara waktu kedua-duanya.”Terdiam sejenak ana mendengar lontaran idea yang dikeluarkan. Memang betul, kami rata-ratanya masih lagi pelajar, pasti menempuhi fenomena yang sama. Menjadi kebiasaan, mujahadah pelajar itu adakalanya terlalu ekstrim dan tidak menitikberatkan segala faktor yang ada. Walau badan sudah letih, namun, kerana ”cekal” dan ”tabah” untuk terus bermujahadah menelaah ilmu, maka aspek-aspek lain selalunya ditolak ketepi. Bahan-bahan yang mampu untuk stimulasi mekanisma badan untuk mengelakkan mengantuk atau juga bahan-bahan yang dapat memberi stamina tenaga diambil tanpa memikirkan kesannya. Implikasi? Mungkin secara jangkan panjang, kita sudah lumrah bahawa seseornag itu kemudiannya akan menjadi terlalu letih dan akhirnya mengambil masa yang lebih lama untuk rehat. Selain itu, walau badan secara zahirnya mampu untuk berjaga dan melawan rasa letih, namun, akal sudah tidak mampu untuk bekerja secara efisyen. Mungkin hanya buat seketika, namun jika terlalu didesak melampaui norma yang biasa dilalui, pasti tidak sempurna cernaan pembelajaran. Akh tadi terus menyambung, ”Kalau pun berjaya habis study, selalunya memang tak optimum hasil yang dapat. Better untuk kita fokuskan sebaik-baiknya ikut kemampuan diri kita. Pengajaran juga buat sahabat-sahabat yang tidak mengurus masa dengan baik. Mungkin tidak mengisi masa lalu dengan bijak hingga kabut jadinya pada musim imtihan ini.” Ana hanya mampu tersenyum.Ada lagi persoalan yang boleh kita kaitkan dengan isu titik tengah ini. Pernah tak enta fikir bila exactly jatuhnya empayar islam di muka bumi ini? Memang kalau kita singkap sirah, secara langsung kita tahu bahawa, Khalifah terakhir jatuh pada 1924. Namun, adakah ini peristiwa mula-mula terjadinya runtuhan sinar islam yang menguasai dunia sebelumnya? Atau adakah kita nak letakkan jatuhnya Baghdad sebagai tragedi simbolik jatuhnya islam? Memang banyak pendapat, tapi, kita patutkan jadikannya satu retrospeksi.”Terkelu lidah ana mendengar luahan dari hati akh ini. Memang tidak pernah terfikir akan bilakah jatuhnya islam secara terperinci. Belum sempat ana menyelami isu-isu yang dibangkitkan, akh tadi menyampuk, ”Ana sahaja nak ceritakan kedua-dua isu di mana, mungkin secara mudah, apabila kita rasa mengantuk, sebelum tidur, mungkin kita boleh kaitkan dengan isu jatuhnya islam ini. Memang kita dengan kesibukan kita, dengan pelbagai kerja dan maslahat yang ada, tidak mudah untuk kita sentiasa fikirkan isu umat. Sebagai praktikalnya, apabila terasa mengantuk sahaja badan ini, maka sedikit sebanyak, kita akan teringat bahawa kita sendiri tidak pernah sedar akan bilakah jatuhnya islam ini. Satu analogi di mana kedua-dua perkara, kita tidak sedar apa yang berlaku di tengah-tengahnya. Mungkin bukan satu usaha yang terlalu aula untuk kita kaji, namun ana rasa cukup untuk kita ekstrak pengajaran dari lontaran-lontaran idea ini.”Mendegarkan akan kata-kata akh ini, ana terasa bersemangat untuk sama-sama berkongsi akan idea yang cukup menarik ini. Moga kita dapat mengambil pengajaran, sebagai amalan yang tidak pernah kunjung jemu untuk meraih redha Allah. Wallahu’alam.Adaptasi dari idea M.R.A

Sunday, February 3, 2008

Semut dan beluncas (Ants and Caterpillar)


Mungkin jauh dari kadar pancaindera dan upaya kita secara direct untuk mencari sebarang kaitan antara kedua-dua mahkluk Allah ini. Mungkin pabila terdengar sahaja, ada yang sudah merasa kelakar. Alkisah semut dan beluncas bukan hanya sekadar lelucon yang menggeli hati. Diharapkan dapat diraih dan dicerna sebaiknya supaya hadaman nanti bakal membuahkan amal yang sukses dan insya Allah diberkati Ilahi.

Semut dan beluncas. Nah, lontarkan sebentar imaginasi dan minda kita untuk merantau jauh ke dalam lembah hutan. Di sana pasti akan kedapatan dan kelihatan sibuk 2 makhluk Maha Pencipta yang sibuk mengurus dan mengikut fitrah Ilahi. Kelihatan 2 jenis makhluk ini asyik dengan amanah mereka mencari cicipan rezeki. Nun di atas sebuah pohon, tinggal seekor beluncas yang sedang sibuk membuntal dan menggondel tubuhnya yang sudah bulat itu dengan dedaun hijau yang segar. Tidak jauh dari situ, sekawanan semut pula sibuk memantau makanan untuk dibawa segera ke koloni. Kelibat beluncas oleh kumpulan semut menjadi hibur hati-hati semut ini.

Si beluncas mengengsot-engsotkan badannya, namun kerana terlalu berat untuk menampungnya, maka kerap ia tergolek-golek. Tergolek-golek. Tergolek-golek di atas pentas daun. Terbahak-bahak kumpulan semut melihat gelagat beluncas. Hilang sudah lelah dan resah mencari rezeki melihat hiburan yang disajikan. Gemuruh tepukan semut kepada si beluncas. Si beluncas terkejut melihat riuh-rendah kawanan semut ke atas dirinya. Rasa takut mula menguasai diri. Di kelilingnya dia lihat kawanan semut dengan jumlah yang ramai. Anehnya, dia lihat kawanan semut seolah-olah tersenyum kepadanya. Takut tadi mulai pudar dan kini timbul tanda tanya akan reaksi semut ke atasnya.

Semut-semut tadi yang masih lagi merasa lelucon dengan aksi beluncas yang mereka anggap sebagai gurauan dan hiburan senyum makin melebar. Akhirnya mereka mula rapat kepada beluncas. Disampaikan kehendak dari hati mereka bahawa mereka ingin meminta khidmat beluncas untuk beraksi dan berlakon dengan lawak-lawak lucu dan aksi gelagat yang menggumbirakan hati mereka di sarang koloni. Tanpa memikirkan keputusan Permaisuri dan juga pendapat pembesar-pembesar semut yang tinggal di sarang, mereka dengan melulu terus mengambil keputusan untuk menawarkan khidmat kerja pada si beluncas.

Dari hati kecil, namun dengan jiwa yang besar, si beluncas sudah mula menyusun strategi. Dari pinggir senyumannya yang hanya dibuat malah lebih mirip kepada bibit cemik yang dibuat-buat. Sudah tergambar dalam rakaman mindanya akan rencana iblis untuk mendajjalkan golongan semut ini. Tersenyum puas beluncas dengan makar yang sudah difikirkannya.

Si beluncas lantas setuju dengan tawaran semut-semut itu. Namun, segera si beluncas menetapkan syarat-syarat kepada si semut itu. Syarat-syaratnya berbunyi seperti ini, ”Wahai semut-semut sekalian. Aku setuju dengan tawaran mu, namun ada beberapa syarat yang aku mahu kamu semua laksanakan sebelum aku mulakan kerjaku untuk menghiburkan kalian.”

”Pertama, kerana kamu akan membawaku kembali ke sarangmu di atas tanah, maka aku akan jauh dari sumber kelazatanku. Aku mahu kamu sediakan gudang yang setiap masa akan dipenuhi dengan daun-daun hijau yang segar buat santapanku.”

”Keduanya, aku mahu kamu semua berikrar bahawa kamu akan menjaga hal ehwalku dan mengutamakan aku dalam segala perkara termasuklah tadi dalam aspek makanan hinggalah aspek keselamatan, di mana kamu akan mengikut kemahuan dan arahanku lebih dari yang lain, hatta Permaisuri kamu jua.”

Semut-semut tadi kerana terlalu asyik dan hibur dengan aksi beluncas segera bersetuju. Mereka tak dapat bayangkan diri mereka terasing dan hilang sumber hiburan yang mereka rasakan adalah satu-satunya tujuan mereka untuk terus hidup. Terasa seolah-olah tanpa hiburan dari beluncas, maka tiada gunalah erti hidup. Membungkam hati mereka terbayang sejenak hidup mereka tanpa kehadiran lucu beluncas dalam diari hidup mereka.

Walau ada di kalangan golongan semut-semut itu yang masih sedar akan bahaya syarat-syarat beluncas, namun mereka merasakan bahawa tiada gunanya untuk melawan suara majoriti. Mereka juga dengan angkuh merasa bahawa rakan-rakan mereka yang menyokong pasti akan menyesal. Waima begitu, tiada usaha untuk mereka menghalang-halangi dengan suara apatah lagi dengan tenaga mereka. Mereka sendiri tidak merasakan mereka akan berputih mata. Malah ada yang mula merasa bibit akan kehangatan aura hiburan yang bakal dibawa oleh beluncas. Mereka mula membayangkan pesona maya yang fana. Mereka mula mengharap akan secebis racun dunia yang berkiaskan madu, juga mengharapkan bunga mekar yang diranjaui duri-duri. Aduh, namun terasa tidak mengapa rasa sakit sedikit. Bukankah semuanya terhibur. Apa guna selalu menyusahkan diri pada benda yang tiada pastinya di hadapan pancaindera mereka? Hanya terjahan dunia yang indah mereka rasakan.

Segera mereka menggondong beluncas ke sarang mereka. Seolah-olah sambutan seorang artis yang cukup terkenal lagaknya disajikan pada beluncas. Tiba di sarang, ketibaan si beluncas disambut dengan atma bercampur baur. Golongan yang faqih dan faham menolak sekeras-kerasnya akan tindakan golongan muda. Namun, kerana kerana tiada upayanya mereka mengahalang, maka beluncas diarak dangan penuh gemilang di seluruh arena koloni. Habis perarakan, si beluncas lantas mempertonton aksinya di hadapan kalangan semut-semut. Gegak gempita seluruh koloni dengan tawa rinag dan lucu semut-semut itu. Mereka seolah-olah merasakan bahawa dunia itulah segala-galanya. Itulah puncak kebahagiaan rasanya, puncak ekstasi dan terasa seolah-olah mereka mengecapi utopia yang cukup sempurna. Mereka lupa segala-galanya ketika menikmati sajian hiburan si beluncas. Tiada lagi batas-batas, basa basi yang mereka selalu tekankan. Golongan yang faham tidak mampu berbuat apa-apa. Ada yang cuba menegah, sedihnya sangat sedikit bilangan mereka ini. Mereka dituduh jumud, dicaci malah dihina oleh rata-rata semut yang lain. Ada juga golongan yang faham ini yang hanya berpeluk tubuh. Mereka hanya senyum sumbing, dan di dalam hati tiada rasa sedih atau sesal. Mereka rasa cukup hanya dengan menjaga diri mereka dan keluarga mereka yang terdekat. Mereka merasakan golongan yang lain sudah terlalu jauh dan mereka rasa tiada kuasa untuk memulihkan keadaannya.

Rutin-rutin harian semut-semut ini sibuk digelumang dengan dansa dan canda hiburan. Mereka makin kurang bekerja dan lebih mengutamakan hiburan yang dipersembah beluncas. Tiada lagi usaha untuk mencari makanan yang lebih buat hari-hari yang bakal susah mendatang.

Si beluncas, kian hari makin bulat dengan sajian makanan dari semut-semut ini. Tiada pernah semut-semut ini mengabaikan akan keperluan beluncas ini. Memang sejak dari hari pertama, sikap mereka tak ubah seperti hamba kepada tuan beluncas. Malah, keperluan anak-anak semut sendiri tidak dijaga sebegini rapi. Ada yang terus meninggalkan tugas untuk memberi makanan kepada anak-anak di koloni. Mereka hanyut ditelan gelombang nafsu. Hanya hiburan beluncas yang utama dihati.

Suatu pagi yang hening, terasa seolah-olah sangat terik. Semut-semut yang malam sebelumnya asyik dengan hiburan, walau letih malah terjaga dengan keadaan yang sangat panas. Sekonyong-konyong keluar sahaja dari sarang mereka terkejut dengan keadaan persekitaran. Api yang marak menjilat hampir semua pohon-pohon di hutan. Anehnya, rata-rata semut tidak berasa apa-apa. Seolah-olah mereka terasa masih berada dalam lambaian mimpi. Tidak secebis rasa takut atau risau terpalit di hati semut-semut.

Akhirnya golongan cerdik pandai bersuara. ”Oh, tidak! Habislah kita! Bagaimana dengan sumber makanan kita? Ni suatu ujian yang sangat besar.” Namun kata-kata mereka yang berpengalaman itu tidak diambil endah oleh golongan yang lain.

Keesokan harinya, barulah mereka terasa akan bahang besar ujian yang melanda. Walau jauh telah mereka terokai, namun kelibat pohon hijau yang segar tiada kelihatan. Mereka mula berpinar-pinar dengan limbasan pohon-pohon rentung tidak kurang juga oleh panahan terik sang suria. Fatamorgana bergenang-genang di kaca mata mereka. Mereka berlari-larian ke arah pelbagai arah seolah-olah tanpa arah tujuan. Disiplin yang mereka amalkan sebagai suatu kumpulan yang utuh dahulu bercerai berai dengan begitu mudah. Setelah sehari suntuk berusaha mendapatkan makanan, dengan longlai kekecewaan, mereka mengatur langkah pulang ke sarang.

Tiba di sarang, mereka dengan rasa lemah, terus ke pentas hiburan. Namun, ketibaan mereka tidak disambut dengan meriah oleh si beluncas. Dengan rengusan, si beluncas terus meminta hak makanannya. Golongan semut tidak mampu berkata apa-apa. Tiada helah yang mampu dibicara. Dengan ulitan senyuman yang disembunyikan dari pandangan semut-semut, beluncas memulakan bicara makar besarnya.

”Ah, aku tak peduli kamu tidak mampu mencari makanan. Bukankah kita telah menandatangani perjanjian bahawa kamu akan menyediakan bekalan makanan yang tidak akan putus, dan juga berikrar akan memenuhi hak-hak keselamatan aku. Nah, sekarang aku nak makan. Aku tidak peduli apa ikhtiar kamu.”

Semut-semut mula resah yang tidak keharuan. Perit hati gagal mencari sumber makanan belum lagi mengurang, sekarang ditambah luka tiadanya hiburan buat penglipur lara.

Beluncas tersenyum nipis, ”Mudah saja. Bukankah kamu masih ada banyak pulpa-pulpa. Tidak kamu perlu khuatir. Aku sanggup-sanggup sahaja.”

Terkejut semut-semut mendengar kata-kata si beluncas. Terdengar suara-suara yang amat marah. Tetapi, rata-ratanya merasa seolah-olah betul apa yang dinyatakan oleh si beluncas. Kerana terasa sempitnya benak dan juga kerana terasa sukaranya untuk menempuh ujian, majoritinya bersetuju sebulat suara. Mereka merasakan cukup sekadar melepaskan beban di hati. Hiburan itu satu penyembuh yang mampu mengubat apa sahaja simptom-simptom. Inilah jalan yang mereka rasa mudah untuk diambail. Ya. Satu-satunya jalan keluar yang mudah dari perasaan murung yang menyelubungi mereka.

Lantas, pekerja-pekerja semut menggendong telur-telur yang selama ini disimpan dengan baik ke penghadapan si beluncas. Walau tiada setuju golongan cerdik pandai yang selama ini dihormati. Mereka kali ini tidak ubah diperhati seperti penyibuk, malah ada yang memandang dan juga memperlaku mereka seperti bajingan-bajingan yang jelik mata memandang. Dengan rakus, si beluncas terus menyantap sajiannya. Terasa begitu enak sekali hidangan kali ini. Nafsu makannya membuak-buak. Satu demi satu hidangan yang dihadapkan di depan mata disumbat dengan gelojoh ke dalam kantung perutnya.

Semut-semut semua tanpa terdetik apa-apa menunggu dengan penuh sabar akan si beluncas. Lipur lara yang dipersembah adalah yang terutama. Mereka seolah-olah buta hati. Atma tiada upaya untuk berfungsi selancarnya. Buta mata atau buta hati...

Cukup sekadar itu, ditamatkan penceritaan kisah dua makhluk ini. Memang diyakini pasti ada yang merasakan bahawa cerita-cerita ini hanya satu rekaan yang tidak mungkin berlaku. Sebenarnya, hubungann antara dua makhluk ini secara fitrah biologinya memang ada yang terjalin seperti ini. Mungkin tidak secara dramatis seperti yang digambarkan. Beluncas memang diminati oleh sejenis kumpulan semut. Rembesan dari badannya berupa sejenis gula memang dicari-cari oleh semut ini. Sebagai balasannya, semut-semut ini akan membawa beluncas pulang ke sarang untuk menjaga dan melindunginya. Si beluncas juga akan menghasilkan getaran atau vibrasi yang yang disalaherti oleh semut bahawa ia adalah signal dari golongan semut lain yang hasil terjemahannya ialah membawa pulpa semut kepada beluncas. Dan ya. Memang benar! Si beluncas memang akan diberi makan pulpa semut itu..

Sebagai makhluk Allah, sebagai insan, anugerah akal untuk memperhati dan mengambil pengajaran akan ciptaan dan kejadian alam adalah suatu kewajipan. Apatah lagi seruan ini memang wajib diamalkan oleh golongan yang beriman.

Ingin dibawa analogi akan si beluncas seperti regim zionis yang zalim dan juga musuh-musuh islam yang lain. Semut-semut pula tidak ubah gelagat dengan ummat islam yang bertaburan dengan jumlah yang sangat besar di seluruh dunia. Simile ini mungkin kebetulan dan mungkin juga Allah ciptakan untuk kita fikirkan. Tidak cukup setakat itu, untuk kita cernakan dan akhirnya terjemahan amal yang akan kelak dihitung. Terserah pada pembaca untuk mengekstrak pengajaran. Mungkin banyak yang bakal diperoleh. Terasa ingin diri melontar persoalan-persoalan ini, kerana hati manusia itu susah untuk disentuh. Walau di kaca mata sendiri melihat kekejaman musuh islam di seluruh dunia, namun tidak pernah tercuit akan sedikit. Jika ada, mungkin tiadanya tindakan yang menyusul. Harapan adalah moga kita berusaha membaiki segala-galanya. Insya Allah...


::Tribute to Gaza, Falestin, Iraq and all thriving Muslim nations::