Monday, February 25, 2008

Imbauan titisan hujan



Imbauan titisan air yang menyayat dan menggunturkan ego hati. Kini aku sedari, bahkan kini aku lebih kenali erti hakiki titisan yang mengairi bumi sejati. Sumber yang dahulunya aku tidak endah, aku sekarang begitu hargai. Terasa begitu kontang diri, tandus dengan kealpaan duniawi yang begitu mengasyikkan. Kini ku harap hujan. Curahan air yang begitu nyaman. Kuingin agar hati ini disirami, biar kuyup, biar lencun, malah ku sebenarnya begitu mengharapkan agar ia diserapi tidak hanya megalir sedu berpegian tanpa ada tampak kesannya pada tanah bumi yang dilaluinya.

Hujan. Dambaan yang terasa sangat rindu akan bentur-bentur titisan. Walau hanya secebis gerimis sangat ku rintihkan padaMu. Tidak rela hati ini, tidak sanggup jiwa ini terasa begitu pedih tanpa adanya air yang akan sentiasa memberikan nyawa. Tanpa untaian-untaian air, maka akan mati hati, tiada erti diri walau harta dan kemewahan yang dikejari penuh disisi.

Hujan. Singkapan igauan ku pada hari-hari yang pernah ku lalui. Ku redah hari-hari yang penuh rintangan, dengan basahan hujan. Tiada pula hujan menjadi penghalang untuk ku pacu maju, malah hujan menjadi jana yang membekali hati dengan isi yang begitu utuh. Tidak lagi hati menjadi layu dan lemah, malah hati menjadi kuat tegar, namun masih dinamika dan masih lagi mampu untuk bentur berupa bentuk yang selayaknya.

Hari-hariku selepas disinggapi titisan yang pertama penuh berbeza. Hari-hariku terasa begitu bermakna. Hujan yang dahulunya ku jauhi, kini mula ku ternanti-nanti. Syukurku padaMu, tanpa nikmat hujan, tidak mungkin aku masih lagi berada tsabat di jalan ini. Terima kasih ku ucapkan, jazakAllah khukhairan kasira pada jiwa-jiwa yang memanduku ke arah jalan ini dan membiarkan ku kehujanan. Moga tsabat kami semua dan tidak jemu kami kehujanan, sama ada sentiasa mencari titisan murni untuk curahan hati jua untuk sama-sama berkongsi mencurahkan air-air hujan pada yang sebenarnya menunggu kekontangan mereka dibasahi.

Firman Allah:

(Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu). dan (ingatlah ketika) ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan).

(Surah Al Anfal, ayat 11)

Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmatNya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya).

(Surah Al A’raf, ayat 57)

Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan; kemudian Allah menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendakiNya, dan menjadikannya berkelompok-kelompok; lalu engkau melihat hujan keluar dari celah-celahnya. maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya, mereka serta merta bergembira;

(Surah Rum, ayat 48)

Dan sesungguhnya Kami telah mempergilirkan hujan itu diantara manusia supaya mereka mengambil pelajaran (dari padanya); maka kebanyakan manusia itu tidak mau kecuali mengingkari (nikmat).

(Surah Furqan, ayat 50)

Dan Allah menurunkan dari langit air (hujan) dan dengan air itu dihidupkan-Nya bumi sesudah matinya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang mendengarkan (pelajaran).

(Surah An Nahl, ayat 65)

Juga dari Abu Musa R.A, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya perumpamaan apa yang dengannya aku diutus oleh Allah iaitu daripada hidayah dan ilmu adalah bagaikan hujan yang lebat yang mengenai bumi. Maka sebahagiannya adalah kelompok tanah yang subur, menerima kehadiran air dan menumbuhkan ladang gembala serta rumput yang banyak, sebahagian lagi adalah tanah ajadib; iaitu tanah yang boleh menahan air sehingga dengannya Allah memberi manfaat kepada manusia mereka boleh minum daripadanya, menyiram air dan bercucuk tanam. Dan hujan tadi juga mengenai jenis tanah yang lain iaitu qi’an; tidak boleh menahan air dan tidak boleh menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Begitulah perumpamaan orang yang mengerti agama Allah dan mengambil manfaat dari apa yang Allah mengutusku dengannya. Sehingga dia mengerti dan mengajarkannya. Juga perumpamaan orang yang sama sekali tidak peduli dengan (agama) itu dan tidak mahu menerima petunjuk Allah yang aku diutus kerananya.”

(Riwayat Bukhari wa Muslim; Muttfaqun ’alaih)

Hujan oh hujan. Begitu berbahagia insan-insan yang ingin mengambil iktibar. Kasih kepada junjungan tidak mungkin bersemi jika tidak kita teliti dengan sempurna sabda baginda ini. Hatta tidak mungkin berputik rasa kasih pada utusan terakhir. Analogi baginda sebagai hujan yang memberi rahmat pada seluruh alam.

Firman Allah:

”Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah Al Anbiya’, ayat 107)

Begitu agung risalah baginda. Begitu berat amanah yang terletak di pundak. Tiada yang mampu menanggungnya. Bagindalah yang satu-satunya, makhkuk yang terpilih, habibullah, kekasih Allah.

Hujan yang simbah membasahi bumi, ibarat hidayah dan ilmu yang tidak kunjung jemu mewarnai dan memberi haruman pada jiwa-jiwa insan. Risalah baginda membawa peringatan kepada jiwa-jiwa jahiliyah yang sudah sangat berkarat dan sangat kelam dengan dosa noda yang hitam pekat. Hidayah dan ilmu menggilap bersih hati-hati yang sudah ternoda. Dengan segera, hati-hati yang dulunya tiada harapan untuk bersinar, kini mula ceria dengan cicipan petunjuk Ilahi.

Tanah-tanah ibarat hati-hati manusia yang bervariasi. Ada jenis tanah yang subur. Dengan berbekalkan air, mampu untuk menyuburkan tanaman. Bukan sahaja pokok-pokok yang tumbuh, malah haiwan dan manusia turut mendapat imbuhan. Dengan tanah yang subur itu, makhluk-makhluk dikurnia rezeki yang melimpah ruah. Tanah-tanah ini begitu bermanfaat pada seluruh alam, kerana dengan asbabnya, alam subur dan makhluk-makhluk Allah mampu untuk tersebar ke seluruh pelusuk bumi untuk mencari rezeki dan memakmurkan alam menurut fitrah sunnatullah. Insan-insan yang mempunyai hati sebegini sememangnya kelompok manusia yang dipilih oleh Rabbul ’Izzati. Gologan ini yang sememangnya berusaha menghayati dan beramal dengan tugas khalifah yang tertera dalam kalam agung. Mereka adalah jiwa-jiwa yang kental menerima hujan dan sentiasa menempiaskan hujan-hujan pada insan-insan di sekitar. Mereka adalah golongan yang tidak pernah kecewa, siap siaga untuk mengislahkan orang-orang yang masih lagi hanyut dengan arus yang begitu kuat. Mereka tidak gusar untuk menentang gelora arus. Malah mereka berikrar untuk membawa perubahan. Unjuran mereka hanya satu. Moga alam ini dan seluruh isi ini mengesakan Rabbul ’Alamin dengan haq yang sebenarnya. Tiada kompromi yang akan mereka terima. Namun hikmah sentiasa mereka siapkan di sisi. Mereka sedar bahawa tindakan yang terburu-buru bukanlah wadah yang berfaedah. Inilah golongan yang beruntung:

Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"

Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumNya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, Dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.

(Surah Fussilat, ayat 33-34)

Nun jauh sedikit di belakang barisan golongan yang beruntung ini, berdiri pula golongan yang menjadi penyokong dan sedikit sebanyak menampung kekurangan golongan yang pertama. Tanah ajadib, walau tidak mampu untuk menyerap hujan sebaik tanah yang subur, namun tanah ini menampung menakung air. Tanah ini mampu memberi minuman pada binatang ternakan dan menjadi sumber manusia minum darinya. Inilah golongan manusia yang mereka tidak sehebat golongan pertama namun mereka tidak menolak dan tidak pernah jemu juga berusaha meraih hidayah dan ilmu dari Allah. Namun kerana sedikit kekurangan, mereka tidak mampu untuk menyuburkan manusia sebaiknya dan tidak mampu untuk membasahi hati-hati manusia sepetimana golongan yang sebelumnya. Namun mereka masih lagi berangkat dalam kafilah yang sama. Masih juga mereka saling berganding bahu bersama dengan yang lain. Mereka juga mampu untuk menarik manusia ke arah jalan yang haq menuju desitinasi yang dimpi, cuma mungkin kerana mereka tidak begitu berhati-hati, mungkin juga kerana kelalaian mereka yang sedikit menyebabkan mereka tidak setaraf dengan gerabak kafilah yang berada di depan mereka.

Tanah yang terakhir yang menjadi kegundahan ramai. Tanah qi’an ini tiada gunanya pada makhluk-makhluk Allah. Tanah qi’an terbentur keras dan tidak mampu untuk menyerap air. Tidak cukup dengan itu, tanah ini tidak juga mahu menakung air, malah apabila air mengalir, tanah ini hanya membiarkan sahaja aliran itu seolah-olah air itu hanyalah sekadar laluan yang tidak penting. Inilah kelompok manusia yang sangat rugi. Mereka tidak mahu berusaha mencari hidayah dan ilmu, malah jika diberi peringatan, mereka merasakan peringatan itu tidak penting. Mungkin ada yang hingga merasa sudah lali dan terasa sangat picisan nasihat-nasihat yang dicurahkan. Malah ada yang merasa sangat benci pada golongan yang tidak pernah henti untuk mengajak mereka ke jalan yang lurus dan benar.

Terasa pedih hati ini, melihat jiwa-jiwa yang masih membenci hujan. Redupan mendung awan yang mendatang diterima dengan hati yang berat oleh golongan yang leka ini. Aduh, kasihan mereka. Hujan yang menyusul pula disambut dengan rungutan dan juga dengan ejekan atau fiil yang menjengkelkan. Hanya usaha yang tidak pernah ada noktah, juga iringan doa yang sentiasa ku hadapkan pada yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Tidak kurang juga muhasabah yang menjadi ritual rutin sebelum dan sejurus setiap aksi untuk menyedarkan mereka akan nikmatnya hujan.

Ku sedikit keliru, adakah mereka tidak tahu akan nikmat hujan. Adakah mereka rasa nikmat hujan yang dikecapi hanya satu utopia atau mimpi indah golongan yang berusaha mendekati diri mereka. Memang tidak murah harga setitis air yang reperkusinya mampu untuk membentur tanah yang sangat keras. Namun, titisan demi titisan yang tercurah perlu dipastikan cukup untuk membasahi dengan baik tanah. Mungkinkah mereka terpengaruh dengan anasir-anasir yang memburuk-burukkan atau merendahkan hujan? Mereka takut pada hujan acid? Adakah mereka merasakan adanya komposis lain selain air-air berbaur kristal hujan? Atau adakah mereka ini terlalu leka dan merasakan nikmat yang sedang mereka kecapi lebih besar nikmatnya dari nikmat hujan? Jika kedua-dua khilaf ini yang terpusat pada hati, maka menjadi tanggungjawab golongan yang kedua-dua jenis tanah untuk membuktikan betapa nikmatnya hujan. Tidak terungkap dengan ungkapan perbuatan apatah lagi dengan untaian kata-kata yang manis.

Kenapa hujan harus dijauhi? Kenapa dipayungi diri dari hujan? Padahkah diri jika terkena hujan?

No comments: