Monday, May 26, 2008

Kalam Rabbul 'Izzati Sumber Inspirasi

Jika anda runsing di musim peperiksaan ini, maka rujuklah Quran:


1. Mengapa Allah bagi aku ujian-ujian ini? Tak boleh bagi ujian-ujian lain ke?

= QS29:2, Surah Al Ankabut, ayat 2

2. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

(dapat ujian tanda Allah sayang pada kita, dan tanda kita masih beriman)

2. Mengapa aku tidak kecapi apa yang aku impikan? Bukankah aku dah usaha yang terbaik?

= QS2:216, Surah Al Baqarah, ayat 216

216. kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

(kita suka pada sesuatu, tapi hanya Allah yang tahu hikmahnya, mungkin benda yang tidak suka ini lebih baik bagi kita…)

3. Mengapa susah sangat? Aku rasa aku tak mampu nak buat..

= QS2:286, Surah Al Baqarah, ayat 286

286. Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…..

(Allah hanya beri kerja yang mampu dibuat oleh hamba-hambaNya...)

4. Ah, aku dah malas dah! Aku nak lari. Aku dah pasrah. Cukuplah setakat ini...

=QS3:139, Surah Ali ’Imran, ayat 139

139. dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.

(Motivasi direct dari Allah... janganlah sedih atau susah hati.. kelak ganjarannya sangat besar di sisi Allah)

5. Aku dah putus asa.. Aku mahu lari !

= QS12:87, Surah Yusuf, ayat 87

87. ... dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum Yang kafir".

(putus asa hanya sifat orang kafir...)

6. Bagaimana nak hadapi?

=QS3:200 (Surah Ali ’Imran, ayat 200)

200. Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi Segala kesukaran Dalam mengerjakan perkara-perkara Yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).

(bersabarlah dan siapkan diri, dari pelbagai segi, termasuklah belajar bersungguh-sungguh...)

7. Apa yang bakal kita dapat?

=QS9:111 (Surah At Taubah, ayat 111)

111. Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah Dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.

(Perniagaan dengan Allah ialah perniagaan yang sangat menguntungkan…)

Adaptasi dari blog rakan seperjuangan yg berada dalam arena perjuangan akhirat dan dunia yg sama... (http://mengemiskasih.wordpress.com)

Selamat menghadapi musim peperiksaan...

Depresi menghasilkan aksi, tersemainya konsistensi?




Saat-saat ini, detik-detik waktu sekarang adalah waktu yang kritikal. Rata-ratanya kita yang masih berada dalam alam pelajar akan bertungkus lumus dalam lingkaran masa sekarang untuk menghadam segala ilmu yang dibendung di uni mahupun ilmu-ilmu yang dikutip di mana sahaja. Hari-hari yang menghantui kita setiap tahun kini kembali lagi. Hanya di persada persimpangan menanti kita dengan seribu satu persoalan...

Pabila dipandang kertas-kertas dan makalah-makalah nota, terasa sempit dada. Nafas terasa tertekan, cuak dengan keadaan diri yang rasa tidak cukup dengan apa yang telah disediakan. Fitrah diri akan menolak kita untuk berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh. Sanggup untuk bersengkang mata semata-mata untuk terus menghabiskan pelajaran yang direvisi. Makanan perangsang, minuman pemberi tenaga, semuanya diambil dengan niat untuk persiapkan diri supaya mampu untuk terus bertahan berperang dalam dunia lawan masing-masing. Musuh-musuh mengantuk dilawan dengan bantuan-bantuan makanan dan minuman ini. Waima begitu, kadang kala, kerana agak lemah jiwa, mata melirik ke arah tarikan-tarikan yang ada. Terlupa masih berada dalam suasana perang, jiwa-jiwa ini sesekali tumpas pada keasyikan teknologi. Video-video baru mahupun perbualan di alam maya menjadi sumber untuk lari sebentar dari suasana perang. Mengapa? Kerana suasana perang ini memang suasana yang tidak selesa. Namun, mereka tetap sedar dan akhirnya kembali mengatur langkah untuk terus berjuang...

Waktu-waktu seperti inilah, fitrah kita ingin kembali merayu kepada Yang Maha Esa. Suasana perang terasa amat sukar. Kapankah pertolongan akan datang? Pengharapan penuh syahdu disandarkan pada Pencipta Yang Maha Agung. Ketika inilah doa yang diminta penuh dengan hajat untuk tabah menghadapi perang. Kejayaan total menjadi sandaran.

Selain doa yang penuh sayu, ketika inilah kita akan meningkatkan amalan-amalan kita. Tidak cukup dengan solat-solat fardhu, solat-solat ini dilakukan secara berjemaah. Khusyuk sungguh dalam solat, mengharap redha Allah dengan harapan akan dapat mencapai hajat yang dicita. Tidak cukup juga, solat-solat sunat turut dibuat. Terasa setiap amalan yang dibuat akan menyumbang ke arah kejayaan dalam perang yang disertai.

Puas dengan solat? Tidak juga. Bacaan Quran terus berkumandang di bilik-bilik study. Tidak cukup dengan tutur-tutur kalam Allah di bibir, malah turut bermain di tiub bunyi komputer-komputer. Suara-suara merdu dan menyentap hati qari-qari menjadi teman kita. Perang terasa tidak begitu menakutkan mendengar alunan-alunan yang memberi peringatan, kalam-kalam dari Sang Pencipta buat hamba-hamba-Nya yang dicintai.

Pelik, tapi memang benar. Ketika suasana yang crucial dan kritikal seperti inilah, hamba akan ingat kembali pada Tuhannya. Mengapa hanya dalam suasana sukar begini kita baru teringat?

Sedih, tetapi itulah hakikatnya. Cuma persoalan rhetorical yang ingin dikongsi, dengan tekanan dalam musim peperiksaan ini, tindakan-tindakan yang hebat mampu dicurahkan. Tidak pernah disangka, self potential menjumpai boundaries yang baru? Diri yang sebelum ini disangka hanya mampu untuk menghasilkan sekian produktiviti, kini persepsi bertukar. Aku mampu lebih dari ini rupanya..

Selain itu, banyak amalan-amalan yang dipertingkatkan, baik dari segi amalan fardhu malah amalan-amalan sunat. Mengapa tidak diteruskan sahaja?

Bukankah sebenarnya mudah untuk beramal? Jika dalam musim peperiksaan, kita akan lebih tenang dengan amal-amal yang dilaksana, maka adakah ada penghalang buat kita untuk terus konsisten dengan amal-amal dan sikap-sikap yang kita curahkan? Sikap bersungguh-sungguh, sikap rajin, sikap daya saing yang tinggi, sikap berdaya maju dan banyak lagi.

Maka, sahabat-sahabatku, jangan berhenti hanya setakat musim peperiksaan ini. Sedar bahawa peperiksaan ini hanyalah subset kepada peperiksaan yang lebih besar. Bukankah Allah jadikan dunia ini, kehidupan ini sebagai ujian yang besar buat kita. Bagaimana dengan persediaan kita untuk peperiksaan terbesar kelak? Anda sudah bersedia?

Selamat menghadapi musim peperiksaan...