Monday, May 26, 2008

Depresi menghasilkan aksi, tersemainya konsistensi?




Saat-saat ini, detik-detik waktu sekarang adalah waktu yang kritikal. Rata-ratanya kita yang masih berada dalam alam pelajar akan bertungkus lumus dalam lingkaran masa sekarang untuk menghadam segala ilmu yang dibendung di uni mahupun ilmu-ilmu yang dikutip di mana sahaja. Hari-hari yang menghantui kita setiap tahun kini kembali lagi. Hanya di persada persimpangan menanti kita dengan seribu satu persoalan...

Pabila dipandang kertas-kertas dan makalah-makalah nota, terasa sempit dada. Nafas terasa tertekan, cuak dengan keadaan diri yang rasa tidak cukup dengan apa yang telah disediakan. Fitrah diri akan menolak kita untuk berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh. Sanggup untuk bersengkang mata semata-mata untuk terus menghabiskan pelajaran yang direvisi. Makanan perangsang, minuman pemberi tenaga, semuanya diambil dengan niat untuk persiapkan diri supaya mampu untuk terus bertahan berperang dalam dunia lawan masing-masing. Musuh-musuh mengantuk dilawan dengan bantuan-bantuan makanan dan minuman ini. Waima begitu, kadang kala, kerana agak lemah jiwa, mata melirik ke arah tarikan-tarikan yang ada. Terlupa masih berada dalam suasana perang, jiwa-jiwa ini sesekali tumpas pada keasyikan teknologi. Video-video baru mahupun perbualan di alam maya menjadi sumber untuk lari sebentar dari suasana perang. Mengapa? Kerana suasana perang ini memang suasana yang tidak selesa. Namun, mereka tetap sedar dan akhirnya kembali mengatur langkah untuk terus berjuang...

Waktu-waktu seperti inilah, fitrah kita ingin kembali merayu kepada Yang Maha Esa. Suasana perang terasa amat sukar. Kapankah pertolongan akan datang? Pengharapan penuh syahdu disandarkan pada Pencipta Yang Maha Agung. Ketika inilah doa yang diminta penuh dengan hajat untuk tabah menghadapi perang. Kejayaan total menjadi sandaran.

Selain doa yang penuh sayu, ketika inilah kita akan meningkatkan amalan-amalan kita. Tidak cukup dengan solat-solat fardhu, solat-solat ini dilakukan secara berjemaah. Khusyuk sungguh dalam solat, mengharap redha Allah dengan harapan akan dapat mencapai hajat yang dicita. Tidak cukup juga, solat-solat sunat turut dibuat. Terasa setiap amalan yang dibuat akan menyumbang ke arah kejayaan dalam perang yang disertai.

Puas dengan solat? Tidak juga. Bacaan Quran terus berkumandang di bilik-bilik study. Tidak cukup dengan tutur-tutur kalam Allah di bibir, malah turut bermain di tiub bunyi komputer-komputer. Suara-suara merdu dan menyentap hati qari-qari menjadi teman kita. Perang terasa tidak begitu menakutkan mendengar alunan-alunan yang memberi peringatan, kalam-kalam dari Sang Pencipta buat hamba-hamba-Nya yang dicintai.

Pelik, tapi memang benar. Ketika suasana yang crucial dan kritikal seperti inilah, hamba akan ingat kembali pada Tuhannya. Mengapa hanya dalam suasana sukar begini kita baru teringat?

Sedih, tetapi itulah hakikatnya. Cuma persoalan rhetorical yang ingin dikongsi, dengan tekanan dalam musim peperiksaan ini, tindakan-tindakan yang hebat mampu dicurahkan. Tidak pernah disangka, self potential menjumpai boundaries yang baru? Diri yang sebelum ini disangka hanya mampu untuk menghasilkan sekian produktiviti, kini persepsi bertukar. Aku mampu lebih dari ini rupanya..

Selain itu, banyak amalan-amalan yang dipertingkatkan, baik dari segi amalan fardhu malah amalan-amalan sunat. Mengapa tidak diteruskan sahaja?

Bukankah sebenarnya mudah untuk beramal? Jika dalam musim peperiksaan, kita akan lebih tenang dengan amal-amal yang dilaksana, maka adakah ada penghalang buat kita untuk terus konsisten dengan amal-amal dan sikap-sikap yang kita curahkan? Sikap bersungguh-sungguh, sikap rajin, sikap daya saing yang tinggi, sikap berdaya maju dan banyak lagi.

Maka, sahabat-sahabatku, jangan berhenti hanya setakat musim peperiksaan ini. Sedar bahawa peperiksaan ini hanyalah subset kepada peperiksaan yang lebih besar. Bukankah Allah jadikan dunia ini, kehidupan ini sebagai ujian yang besar buat kita. Bagaimana dengan persediaan kita untuk peperiksaan terbesar kelak? Anda sudah bersedia?

Selamat menghadapi musim peperiksaan...

No comments: