Wednesday, April 2, 2008

Persis Hud Hud



Persis hudhud. Begitulah sikap seorang pelajar layaknya. Terutamanya pelajar yang bergelar penuntut universiti yang sudah berada di ambang kematangan yang berbeza dengan zaman persekolahan. Mengapa burung hudhud yang menjadi analogi? Mari kita singkap kembali era gemilang Nabi Sulaiman a.s.

Firman Allah dalam Quran:

20. Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat burung hud hud? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir?

21. "Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir)".

22. Burung hud hud itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): "Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba' dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya.

23. "Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar.

24. "Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk, -

25. "(Mereka dihalangi oleh syaitan) supaya mereka tidak sujud menyembah Allah yang mengeluarkan benda yang tersembunyi di langit dan di bumi, dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan.

26. "Allah! - tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar ".

27. Nabi Sulaiman berkata: Kami akan fikirkan dengan sehalus-halusnya, Adakah benar apa yang engkau katakan itu, ataupun engkau dari golongan yang berdusta.

28. "Pergilah bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka; Dalam pada itu perhatikanlah apa tindak balas mereka".

29. (setelah membaca surat itu), berkatalah raja perempuan negeri Saba': "Wahai ketua-ketua kamu! Sesungguhnya telah disampaikan kepadaku sepucuk surat yang mulia.

30. "Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): `Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani,

31. " `Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran ugama Allah). ' "

(Surah An-Naml, ayat 20-30) (QS 27:20-30)

Kisah Nabi Sulaiman ini telah kerap kali kita dengari namun sejauh mana telah kita garap pengajaran yang terselit bersama kisah?

Sikap burung hud hud yang ditonjolkan cukup luar biasa. Mungkin dari satu segi, sesetengah pihak menganalisa sikap ingkar burung hud hud atau sikap kurang disiplinnya dalam mematuhi perintah pemimpin yang agung. Waima begitu, jika kita selidiki dari darjah yang berlainan dengan perspektif biasa, kita akan melihat bahawa burung hud hud sebenarnya bukan ingkar kepada pemimpinnya. Keterlambatannya bukan suatu rutin yang mungkin bagi kita suatu lumrah. Lambat ke kuliah mungkin menjadi tabiat. Tetapi bukan ini sikap hud hud. Hud hud sebenarnya mengambil inisiatif tersendiri dalam kerjanya, beramal dengan lebih hebat dan tidak berasa cukup dengan hanya amalan-amalan yang obligatori atau yang dicadangkan.

Mari kita praktik dalam diri kita. Lihat bagaimana hud hud mempunyai satu keazaman yang tinggi di samping bersungguh-sungguh dalam melakukan kerjanya. Mungkin ditugaskan baginya untuk hanya merantau di lingkungan yang biasa ditetapkan. Suatu hari terasa olehnya untuk berusaha lebih dan menjelajah belantara kawasan yang tidak pernah diinjaki oleh mana-mana pengikut Nabi Sulaiman. Hasil usahanya, dia berjaya menjumpai kaum yang ingkar kepada Allah, satu penemuan yang baru dan tidak diketahui oleh Nabi Suaiman a.s. sendiri walau baginda seorang nabi. Ini merupakan ilham Allah moga kita berinspirasi seperti hud hud.

Sepertimana jua kita sebagai pelajar. Persoalan yang sering berlegar, adakah cukup dengan hanya apa yang diberi oleh pensyarah mahupun tutor. Bagaimana dengan inisiatif sendiri. Harap sedar sebelum terlambat, kita telah menginjak diri ke dalam alam yang sangat berbeza dengan sekolah. Jika dahulu guru banyak membantu, namun sekarang jika hanya menunggu ilmu, maka akan termangu-mangu.

Juga hud hud tidak hentam kromo membuat keputusan. Diselidiki dengan teliti dan bersikap metikulus (meticulous) dalam kerjanya. Tidak pernah dia menunjukkan dirinya pada kaum yang ingkar itu. Walau bersemangat dan bersungguh-sungguh, tidak bermakna cukup. Perlu untuk sentiasa bersedia dan tenang dalam membuat kerja. Bagi pelajar, praktikaliti yang sesuai adalah membuat perancangan yang sesuai supaya tidak kita menyesal di lewat hari pabila kerja makin banyak dan masa makin suntuk untuk menyiapkannya.

Selain itu, hud hud tidak pernah takut untuk mencuba. Territory baru bukan suatu masalah. Perlu ada dalam sikap seorang pelajar untuk tidak berasa selesa dengan perkara yang diketahui. Ditambah dengan keadaan global sekarang yang sangat kompetitif, maka memerlukan kita untuk mengetahui setiap aspek kehidupan. Sebagai muslim, memang menjadi kewajipan untuk menimba ilmu. Tanggungjawab kita untuk menghadam dan mengambil sebaiknya ilmu di universiti tidak menjadi persoalan sama sekali. Cuma adakah cukup bagi kita hanya dengan ilmu di universiti? Bagaimana dengan ilmu-ilmu Allah yang lain? Adakah kita telah memenuhi sepenuhnya tanggungjawab kita sebagai muslim yang menuntut ilmu, hatta ilmu agama islam? Satu persoalan yang perlu kita renungkan...

No comments: