Thursday, February 14, 2008

Ratu hati... Bidadari hati...



Ratu hati... Bidadari hati...

An Nisa’. Susunan abjad yang menyusun kata yang mampu menggetarkan hidup dan hati insan bernama lelaki. Dunia semuanya mengakui betapa besarnya pengaruh wanita dalam kehidupan. Sedih sekali dunia sekarang menganggap wanita adalah duri di sebalik bunga. Tidak kurang juga yang menjadi hamba kepada perempuan. Lebih sedih lagi, wanita sendiri menjadi hamba kepada hedonis yang tidak pernah hilang hausnya. Dunia hiburan membuktikan bahawa pelipur lara tidak jemu-jemu memperguna golongan insan yang secara fitrahnya suci ini untuk memuaskan nafsu yang hanyalah sementara dan sebenarnya tidak akan puas.

Islam mengangkat martabat wanita ke tempat yang sebenarnya. Tidak terlalu diagung-agungkan malah tidak juga diperhina seperti dalam singkapan sejarah tamadun manusia. Insan yang tidak memahami islam akan selalu merasakan bahawa diri wanita tidak diperlaku dengan adil. Dunia sekarang yang tidak menjalankan sistem islam yang syumul akan berusaha sedaya upaya mereka untuk memperjuang hak-hak wanita. Istilah-istilah yang tidak asing dari lingkup hidup kita; feminisme, gender equality dan banyak lagi nama-nama yang berusaha untuk meletakkan wanita sebaris dengan kaum lelaki. Mengharukan ada golongan dari pihak islam sediri yang kurang memahami konsep islam sama-sama berjuang dengan kelompok-kelompok ini.

Perbandingan islam dengan agama-agama lain, wanita dalam agama lain sebenarnya dipandang lebih rendah dan menjadi satu simbol yang merosakkan. Dalam kristian, istilah original sin meletakkan sepenuhnya salah silap kepada pundak wanita. Hawa atau Eve dituduh sebagai penggoda yang menyebabkan Adam mengambil buah larangan. Dengan pujuk rayu Hawa, Adam tidak mampu bertahan dan akhirnya memetik buah yang dilarang untuk didekati. Kerana kesalahan besar inilah, maka manusia dikeluarkan dari syurga. Wanita dipandang sebagai punca kepada segala masalah.

Petikan dari kitab kejadian (Genesis 3:6)) (Kejadian 3:6), ”Maka dilihat oleh perempuan itu bahawa buah pohon itu baik akan dimakan dan sedap kepada pemandangan mata, iaitu sebatang pokok asyik akan mendatangkan budi, maka diambilnya buah, lalu dimakannya, serta diberikannya pula pada lakinya, maka ia pun makanlah.”

Pabila ditanya oleh Tuhan, maka jawab Adam menurut Kejadian 3:12 (Genesis 3:12), ”Adapun perempuan yang telah Tuhan kurniakan kepadaku itu, ia memberikan daku buah itu, lalu kumakan.”

Nah, bukankah jelas segala lontaran kesilapan manusia diletak di pundak golongan insan yang tidak berdosa ini. Kerana doktrin sebegini, kefahaman yang tidak sahih ini sendiri yang menyumbang ke arah ketidakadilan dalam masyarakat barat. Mereka sendiri alpa dan tidak sedar bahawa dasar kepercayaan mereka sendiri sebenarnya yang telah menanam dengan tunjang utuhnya bahawa perempuan perlu disalahkan. Perempuan perlu dilihat dengan renungan yang berkacakan perasaan jijik dan hina, menurut mereka.

Tidak kurang juga dalam kitab Perjanjian Baru (New Testament). Mungkin tidak terlalu direct, tetapi masih agak jelas di mana perempuan masih dipersalah kerana perempuanlah yang pertama layu dan akur dengan bujukan syaitan yang dihiasi dengan penuh indah.

Jika kita dalami dengan penuh teliti, fahaman Kristian ini secara langsung mempamer kelemahan lelaki yang mudah untuk termakan pujuk rayu perempuan. Juga dalam dasar yang dipercayai oleh Kristian ini, Adam menjadi simbolik seorang yang dengan pantas menepis kesalahannya terus kepada perempuan. Pabila ditanya oleh Tuhan, lantas dituding kesalahannya pada si wanita. Wajarkah seorang yang mulia bertaraf nabi bersifat demikian? Sememangnya agak kurang logika dan tidak mungkin.

Golongan rahib kristian kemudiannya menggunakan simbol Isa atau jesus disalib sebagai satu cara untuk menghapuskan dosa. Maka mereka mempermudah cara untuk menghapus dosa hanya dengan mempercayai doktrin ini. Cukup sekadar menggunakan salib sebagai satu metode untuk beribadah.

Sementara itu, Islam pula memandang sebenarnya, kejadian Adam dan Hawa diturunkan dari syurga bukanlah kerana salah wanita. Sebenarnya manusia sendiri semuanya tidak mampu untuk menahan nafsu. Kedua-duanya telah diperdaya oleh syaitan. Firman Allah:

Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: "Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga)". (Surah Al A’raf, ayat 20) (7:20)

Seterusnya, waima kedua-duanya menangggung beban dosa yang sama, punca kedua-duanya digelincirkan adalah kerana tindakan Adam,

”Dan Demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi ia lupa; dan Kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.”

(Surah Thaha, ayat 115) (20:115)

Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya).

(Surah Thaha, ayat 121) (20:121)

Dalam ayat-ayat ini sangat bertentangan ciri-ciri insan yang diungkap berbanding perumpamaan manusia oleh kitab-kitab Kristian. Peribadi Adam dalam kitab Kristian menggambarnya sebagai seorang yang lemah selain mudah untuk meletakkan kesalahan pada orang lain itu sangat berbeza dengan karakteristik Adam dalam Quran. Adam tidaklah dipandang sebagai seorang yang lemah. Adam telah diambil janjinya atau telah berjanji dengan Allah untuk tidak menghampiri pohon larangan tapi kerana hasutan syaitan durjana, maka dia alpa hingga terlupa janjinya pada Maha Esa. Dambaan nafsu dan cucukan syaitan akhirnya menenggelamkan manusia dan meletakkan manusia di darjat yang terhina malah lebih hina dari binatang ternakan, malah lebih hina dari segala-galanya yang dicipta Allah ta’ala.

Dan Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Surah Al A’raf, ayat 179) (7:179)

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah. (Surah Tin, ayat 4-5) (95:4-5)

Berdasarkan dalil-dalil, ternyata sebenarnya, iblislah yang merupakan musuh yang utama. Ternyata, Adam diperdaya secara langsung dari Iblis dan bukannya kerana Hawa. Kerana tipu muslihat iblis yang sibuk menggoda manusia, maka Adam akhrnya terpedaya dan termakan pujukan iblis itu. Sebenarnya, Adamlah yang mula mendekati pohon yang dilarang dan inilah yang menyebabkan kemurkaan Allah. Bukanlah wanita yang sepatutnya dipersalah kerana Adamlah yang sebenarnya melakukan tindakan itu.

Taraf wanita di kaca mata muslim bukan sahaja sama dan selari barisan dengan kaum lelaki malah Allah turut berfirman dalam Surah At Taubah, ayat 71 di mana dinyatakan bahawa bukan sahaja lelaki memimpin wanita, malah ada wanita yang memimpin kaum lelaki.

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi pemimpin bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah At Taubah, ayat 71)

Para ulama’ sepakat menafsir ayat ini bahawa pihak wanita tidak terhad untuk hanya memimpin dari golongan mereka sahaja, malah mereka turut berhak untuk memimpin kaum lelaki jika layak. Dari contoh yang kecil di mana ibu-ibu memimpin anak-anaknya hinggalah kepada institusi yang lebih besar, Islam tidak pernah menyempit apatah lagi menindas hak-hak wanita seperti yang diwar-war dan ditohmah tanpa bukti yang ilmiah oleh pihak musuh islam serta pihak-pihak yang keliru dan menjadi mangsa keadaan. Jilbab atau tudung dituduh menjadi bahan yang diguna pakai untuk memeras kaum muslimat. Muslimat dipandang kononnya ”kasihan” oleh golongan-golongan sebegini. Kain yang menutup darjat maruah yang mulia dianggap sebagai penyekat kepada kebebasan dan penghalang kepada wanita muslimat untuk ekspresi diri. Ini, menurut mereka adalah gara-gara fahaman islam sendiri yang terlalu ekstrim dan golongan ini adalah golongan yang fanatik atau fundamentalis.

Dalam islam, ratu hidup dan bidadari hidup seorang lelaki adalah dua insan istimewa yang akan sentiasa memberi pengaruh besar di sisi hidupnya. Sama ada asuhan dan didikan yang tiada tolok bandingannya hinggalah kepada galakan dalam mengharungi detik-detik mencabar, tidak dapat dinafikan segala rinci ruang kehidupan akan dijana oleh dua insan istimewa ini. Ibu dan isteri adalah daya penolak yang besar kepada seorang lelaki.

Ibu. Dikaulah insan pertama yang ku kenal. Kaulah insan terpaut di hatiku. Bagi ana sendiri, memang ibu insan yang paling istimewa. Teringat kembali ceritera yang pernah diluahkan ibu ketika ana masih kecil. Ibu dulu didiagnos dengan ectopic pregnancy ataupun mengandung di luar rahim. Ketika itu dengan kelengkapan peralatan medikal yang agak terhad di banding dengan sekarang, doktor akhirnya menasihati ummi dan abi supaya menggugurkan sahaja kandungan yang dikendong ketika itu. Hancur luluh hati kedua-dua sang ibu dan ayah. Namun naluri sang ibu yang membibit dengan rasa kasih kepada si anak tidak sanggup untuk menuruti cadangan si doktor. Akhirnya, mereka bertawakkal kepada Allah dan meneruskan kandungan. Hasilnya, lahirlah ana ke dunia ini. Tanpa pengorbanan besar yang pertama ini, pasti ana hanyalah kerdipan di celah mata ummi dan abi. Memang sudah menjadi qadar Allah, namun pengorbanan ibu adalah asbab untuk ana untuk terus mencurahkan bakti.

Ibu betapa mulianya jasa yang engkau curahkan. Mulianya sang ibu, menjadi noktah besar dalam islam hingga menjadi kewajipan untuk berbakti sepenuhnya kepada ibu selagi mana tidak melanggar nas-nas dan syarak batasan yang ditetapkan.

Antara hadith Rasulullah yang masyhur, ada orang yang bertanya kepada Rasulullah, kepada siapa aku mesti memberikan pembaktian. Rasulullah menjawab, ”Ibumu.” Ditanya lagi, masih dijawab ”Ibumu.” Pertanyaan kali keempat barulah dijawab ”Ayahmu’”

Hadith Rasulullah mengenai kisah Juraij cukup untuk memberi guturan keras pada jiwa kita. Walau Juraij yang sangat rajin dalam ibadahnya, angkara tidak menjawab panggilan ibunya walau ketika masih dalam ibadah. Natiijahnya, si ibu yang terguris lalu menyumpah Juraij supaya melewati perempuan lacur. Akhirnya, Juraij difitnah dan dibelasah oleh penduduk kampung. Maha Suci Allah yang ingin memberi pengajaran kepada hamba-Nya supaya menghormati ibu, akhirnya kerana maghfrah dan rahmatnya, Juraij dibersih dari tuduhan fitnah apabila anak pelacur yang masih bayi bersuara memberitahu penduduk kampung si ayah yang sebenar. Walau selamat dari tuduhan akhirnya, namun ujian dari Allah sudah dikecapi. Parah sudah tubuh dibelasah oleh penduduk kampungl, Begitu besar doa ibu hingga si alim tidak terurai dari rantaian pembalasan oleh Allah.

Hujung telapak kaki ibu adalah pintu syurga terpateri dalam hadis Rasulullah mengenai seorang sahabat yang telah betul nazak tetapi tidak mampu untuk menutur kalimah syahadah. Setelah diselidiki, rupa-rupanya pemuda itu derhaka kepada ibunya. Si ibu dipanggil dan diminta untuk memaafkan anaknya. Si ibu pada mulanya masih hiba dan enggan, namun apabila Rasulullah akhirnya menyuruh sahabat-sahabat lain untuk membakar sahaja hidup-hidup pemuda itu, si ibu akhirnya terkilan dan akhirnya memaafkan si anak. Akhirnya si anak dapat mengucap dan putuslah nyawanya sejenak itu.

Bidadari hidup umpama pelengkap hidup seorang lelaki. Bak fizikal mahupun rohani, emosi dan segala ciri, seorang isteri adalah komplementariti seorang suami. Tiada penafian bahawa seorang isteri bukan setakat penyeri di rumah tetapi seorang isteri turut sama-sama berjuang di medan, sama terjun dalam kancah arena seiring dengan si suami dalam usaha menegakkan islam yang tercinta. Malah si isteri adalah penyumbang besar dalam membekali si suami tidak terbatas dengan semangat dan ketenangan dalam menyumbang ke arah menegakkan islam, segala yang boleh dikorbankan bersama akan dicurahkan sepenuhnya, harta mahupun jiwa raga.

Model Khadijah adalah model isteri solehah yang ideal dan menjadi kejaran muslimat untuk berusaha mencontohinya. Khadijah idola isteri-isteri pejuang islam yang tidak kenal erti penat lelah, tidak secebis rasa syak mahupun gusar dengan amanat risalah yang dijuang suami tercinta, Rasulullah S.A.W. tiada kalimah mudah yang mampu mencirikan fi’il yang indah dimiliki Khadijah. Dialah yang pertama membenarkan. Walau Rasulullah sendiri dengan rasa yang amat takut setelah pertemuan julung kali dengan ruhul kudus, namun, Khadijah mampu menenangkan Rasulullah, malah memberi idea ang bernas dengan membawa Rasulullah berjumpa Waraqah Bin Naufal untuk memberi keyakinan dan ketenangan akan risalah yang dijunjung. Dari awal hinggalah hujung hayatnya, begitu banyak curahan jasa demi deenul haq, membantu Rasulullah dalam apa jua.

Ummu Salamah. Walau usianya sudah menggapai sangat lanjut ketika berkahwin dengan Rasulullah, namun jasanya tidak terkira. Malah sejak sebelum menjadi Ummu Mu’minin, kisah kisah Hijrah Ummu Salamah dan Abu Salamah (Abdullah Ibnu Abdul Asad) ke Madinah merupakan kisah yang mengharukan. Ketika mereka ingin meninggalkan Mekah, mereka dihalang oleh kaum Makhzum dari pihak Ummu Salamah. Mereka lalu merampas Ummu Salamah dan anaknya dari Abu Salamah. Kaum Abdul Asad dari Abu Salamah marah lalu merampas anak mereka. Tinggallah Ummu Salamah terkapai-kapai keseorangan. Suaminya telah hijrah ke Madinah. Anaknya dirampas oleh Bani Abdul Asad sedangkan dirinya terpenjara oleh kaumnya sendiri. Sejak hari perpisahan itu, tidak kujung lepas, setiap hari Ummu Salamah akan pergi ke tempat berlakunya tragedi itu dan menangis hingga malam tiba. Genap setahun barulah Ummu Salamah akhirnya berjaya berhijrah ke Madinah dan disatukan kembali dengan keluarganya. Nah, bukankah satu cerita yang romantis. Zaman sekarang, walau kematian suami, paling lama hanya seminggu mungkin selebihnya sebulan dan perasaan itu makin pudar. Malah selepas Abu Salamah meninggal, Ummu Salamah berikrar tidak akan berkahwin lagi kerana dirasakan tiada lagi orang yang dapat menyerupai Abu Salamah. Akhirnya, dia dilamar sebagai Ummu Mu’minin.

Teringat ana ketika ayah berada di pembaringan di hospital. Ketika berada dalam keadaan komatos, pelbagai mimpi yang menjelma. Ada yang memang hanya buaian tidur, tidak kurang juga mainan syaitan. Alhamdulillah, pabila ayah sudah mula sihat, diceritakan kembali akan mimpi-mimpi yang dilalui.

”Nak, ayah mimpi kau kahwin.”

”Ish! Betul ke abah ni.” Aku hanya tersenyum.

”Betul. Abah siap mimpi nama lagi.”

”Wah, siapa namanya?” Aku mula curious.

“Namanya Ummu Salamah.”

Dalam hatiku, aku hanya berdoa. Moga mimpi ayah menjadi kenyataan. Dalam satu lagi detik, ketika ziarah untuk khitbah, ana ceritakan pada ikhwah yang menemani.

”Tapi, nama dia tak sama pun.”

”Erm. Insya Allah perilakunya bak Ummu Salamah. Mungkin inilah perancangan Allah.”

Amin ya rabbul ’alamin.


al asad

2 comments:

bahterapenyelamat said...

namakan anakmu ummu salamah, maka ibunya bergelar ummu salamah.

rabi ibn amir said...

alhamdulillah..just about time =)